Friday, January 7, 2011

PELAJARAN 2 KARANGAN SOALAN SPM KERTAS JUN 2010


Kali ini anda akan diajar menulis karangan di peringkat SPM KERTAS JUN.  Kertas Jun sama dengan Kertas NOVEMBER dari sudut bentuk soalan.  Bezanya, Kertas Jun diambil oleh bukan pelajar sekolah. Kira-kira 70,000 calon menyertai  peperiksaan ini saban tahun. Kebanyakannya guru yang mengajar subjek bukan bahasa Melayu yang tidak mendapat kepujian dalam SPM November, doktor, jurutera, inspektor polis, jururawat dan sebagainya yang pernah saya ajar. Peperiksaan Bahasa Melayu Kertas November pula, diduduki kira-kira 400,000 calon sekolah.  Soalan kedua-dua SPM  Kertas Jun dan SPM Kertas November sama.  Jikalau anda belajar menulis karangan di laman blog ini untuk Kertas Jun, pelajar Kertas November juga boleh belajar.

Lihat kertas soalan contoh.

SPM BAHASA MELAYU
KERTAS JUN 2010

KERTAS 1   KARANGAN BAHAGIAN B

                                        PANDUAN MENULIS KARANGAN TAJUK NOMBOR 3  DI ATAS

                                                                     TAJUK KARANGAN

Isu kenaikan harga barang-barang keperluan harian perlu ditangani kerana kenaikan itu menimbulkan pelbagai kesan terhadap rakyat di negara ini.
Tulis sebuah rencana yang bertajuk Peranan Pelbagai Pihak dalam Menangani Isu Kenaikan Harga Barang.'

Langkah pertama

Baca tajuk karangan dengan teliti.  Gariskan apa-apa yang penting.  Dalam soalan ini gariskan:
                                                  
                                                            Kenaikan harga barang-barang
                                                            Rencana     -  format  - mesti ikut format - tidak ikut tolak markah.
                                                            Peranan pelbagai pihak.  Siapa?

Langkah kedua

Buat catatan apa-apa yang penting.  
Barang apa yang naik harga?   Gula,  minyak masak, tepung, santan dan ayam.  Sebenarnya:
                                                           SEMUA BARANG NAIK HARGA

Harga nasi lemak, roti canai, teh tarik, santan, sayur-sayuran naik.
                                                           YANG TURUN IALAH HUJAN
Peranan siapa untuk mengatasi masalah kenaikan haga barang-barang keperluan?
Siapa  yang bertanggungjawab menyekat kenaikan harga barang-barang keperluan harian?
Pelbagai pihak maksudnya banyak.  Banyak pihak terlaibat.
                                                          ISI-ISI KARANGAN INI

Peranan Pelbagai Pihak
1.   Pihak pertama      pengguna sendiri  sayasaya, anda, jiran, inilah pengguna atau kita sebagai pembeli.

2.   Pihak kedua        peniaga      penjual barang-barang keperluan

3.   Pihak ketiga      kerajaan      pihak yang paling berkuasa

4.   Pihak keempat     persatuan pengguna seperti CAP Pulau Pinang

5.   Pihak kelima    sekolah

6.   Pihak keenam   orang tengah seperti penanam sayur, nelayan, penternak dan sebagainya

7.   Pihak ketujuh   media massa  seperti tv,  radio,  akhbar,  majalah

8.   Pihak kelapan  ibu bapa

Dalam SPM,  isi yang mesti diberi ialah   3 atau 4 atau 5.  Ingat panjang esei ini 350-500 atau lebih.
Sekiranya anda menulis karangan dengan menggunakan test pad Lembaga Peperiksaan Malaysia, cukup satu muka setengah atau dua muka surat.  Jangan menulis esei terlalu panjang  SEBAB esei anda untuk peperiksaan bukan untuk pertandingan menulis esei. Dalam pelajaran ini, kepanjangan karangan hanya untuk memberi bimbingan tetapi dalam SPM nanti  400 -450 - 500 perkataan sudah cukup.

                                                    PANDUAN AM MENULIS ESEI

1.   Panjang esei 350 -500 perkataan.
2.   Esei mesti ada   
                                     Intro                 -     Bina 3-4-5 ayat sebagai pengenalan

                                     Isi 1                  -     Bina 5-6-10 ayat

                                     Isi 2                  -     Bina 5-6-10 ayat

                                     Isi 3                  -     Bina 5-6-10 ayat

                                     Isi 4                  -     Bina 5-6-10 ayat

                                    Isi  5                  -     Bina 5-6-10 ayat

                                    Penutup             -     Kesimpulan

3.  Dalam esei anda patut ada 20 - 30 50 kosa kata yang baik dan berkualiti, kosa kata yang betul
     mengikut laras esei yang anda tulis, yang relevan dengan tajuk perbincangan kita. Semua kosa kata
     mestilah sangat betul ejaan.  Banyak kosa kata yang disalah eja oleh pelajar termasuklah ejaan yang sangat senang seperti ibu bapa, pasar raya, pelancong, menguar-uarkan, menggembleng dan banyak lagi.

4.  Menggunakan penanda wacana yang betul dan tepat seperti selanjutnya, seterusnya, di sampaing itu,
     Walau  bagaiamanapun, Intihanya dan sebagainya.

5.  Menggunakan kata hubung seperti,  sungguhpun......tetapi,  bukan....bukan,  Walaupun.....namun.

6.  Memasukkan peribahasa, kata-kata hikmat dalam  pelbagai bahasa, moto, kata-kata pemimpin.

7.  Memberi contoh yang relevan dengan tajuk karangan yang kita tulis.

8.  Tanda bacaan seperti nokhtah, huruf besar, huruf kecil dan sebagainya.

9. Memasukkan pantun di permulaan esei, tengah-tengah esei atau di hujung esei.

10.Menjaga tulisan, mestilah terang dan senang dibaca, esei yang bersih.  Jangan lupa tulis nombor soalan
     angka giliran calon dan sebagainya.

11.Panjang ayat peringkat SPM antara 8 hingga 12 perkataan.


                                                                   Draf karangan

Intro               -                 ayat 1   -   sokong atau setuju tajuk ini.  Salin sahaja tajuk daripada soalan
                                         ayat 2   -   saban hari harga barang keperluan naik,  beri 5-6 contoh
                                         ayat 3   -   golongan berpendapatan rendah paling teruk terjejas
                                         ayat 4   -   sebenarnya semua pihak mesti bekerjasama mengatasi isu ini

Isi 1                                   Peranan  pengguna atau konsumer sendiri
                                         - pengguna wajib berhemah berbelanja
                                         - beli barang yang patut sahaja
                                         - banyak barang dibeli, harga akan naik.
                                         - periksa harga/bandingkan di kedai lain sebelum membeli barang tersebut
                                         - tanam sayur sendiri, bela ikan atau ayam, tanam buah-buahan sendiri
                                         - pulau atau boikot peniaga yang tamak, sorok barang, naikkan harga

Isi 2                                  Peranan ibu bapa
                                        - tunjukkan teladan kepada anak dari sudut berjimat cermat
                                        - didik anak-anak suka menabung
                                        - jangan terpengaruh dengan iklan
                                     

Isi 3                                 Peranan sekolah
                                       -selalu memberi nasihat tentang keperluan berjimat cermat
                                       - guru menyuruh pelajar menulis esei kepenggunaan
                                       - latih pelajar berkebun sayur/membela ikan di sekolah

Isi 4                                Peranan media massa
                                      - Surat khabar atau tv patut siarkan berita harga barang naik secara besar-besaran
                                      - Siarkan gambar peniaga yang degil, suka naikkan harga barang
                                     
Isi 5                               Peranan kerajaan
                                     - Menggubal undang-undang,  mengenakan hukuman yang berat atau hukuman
                                      penjara terhadap pihak suka menyorok barang.
                                      -Penguat kuasa mesti tegas.
                                      -Kerajaan sendiri jangan suka membazir

                                                                             KARANGAN CONTOH

     
                                                 Peranan Kita dalam Menangani Isu Kenaikan Harga Barang
            oleh
              Wan-El Regina

      Isu kenaikan harga barang-barang keperluan di negara ini  bukanlah perkara asing kepada rakyat Malaysia.  Saban hari isu ini menjadi buah mulut orang Melayu,  Cina,  India,  Punjabi, Iban, Malanau, Murut.  Saban hari juga terpampang berita kenaikan harga barang di dada-dada akhbar. Mengapakah harga ikan,  sayur-sayuran, minyak masak,  tepung, ayam dan barang-barang lain  tidak boleh dikawal dalam kalangan peniaga di negara ini dan mereka bersikap beraja di mata bersultan di hati?   Apakah peranan kita dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barang ini?

     Pada hemat saya, masalah kenaikan harga barang-barang dapat ditangani dengan berkesan bermula daripada pengguna atau konsumer sendiri.  Harga barang-barang naik kerana kebanyakan pengguna membeli barang tanpa beragak-agak, lebih kepada mengikut nafsu. Apabila barang sangat laris dalam pasaran sudah pasti harganya akan dinaikkan.  Inilah asam garam peniaga sejak zaman silam lagi. Pengguna sepatutnya membeli barang yang perlu sahaja. Bukan itu sahaja, para pengguna juga wajib memeriksa harga barang di kedai lain dahulu atau membuat perbandingan harga sebelum membeli barang-barang yang dikehendaki. Jangan sangat percaya akan iklan kerana rata-rata iklan dewasa ini lebih kepada mengabui mata pengguna sahaja. Langkah lain yang molek dilakukan ialah pengguna menanam cili, sawi, kacang panjang, petola, jagung, betik, nanas, membela ikan, ayam,  lembu dan kambing.  Sekiranya usaha ini dapat dilaksanakan sudah pasti harga sayur, buah-buahan, ikan dan ayam dapat dikawal dengan berkesan. Jikalau usaha ini menemui jalan buntu,  konsumer patut memulaukan peniaga dan memboikot peniaga.  Jangan pergi ke kedai peniaga yang sakit jiwa ini. Usaha ini juga mampu dipraktikkan jikalau pengguna berpegang pada peribahasa hendak seribu daya, tidak hendak seribu alasan.

       Di samping itu, ibu bapa juga mempunyai iltizam dalam mengekang kenaikan harga barang-barang keperluan harian.  Ibu bapa wajar menunjukkan teladan suka berjimat cermat apabila berbelanja.  Kita sedia maklum bahawa  anak-anak sangat mudah mencontohi sikap ibu bapa lebih-lebih  sikap negatif.  Sewajarnya ibu bapa mengasuh anak-anak menabung sejak dari awal lagi. Bukan itu sahaja, ibu bapa sendiri dan anak-anak tidak seharusnya terpengaruh dengan iklan terutama iklan jualan murah. Sekiranya ibu bapa tidak berhemah berbelanja  kerana terpedaya dengan  iklan sudah pasti peniaga akan menangguk di air keruh dan seluruh pengguna di Malaysia akan menerima kesan buruk, harga barang naik dan naik tanpa ada sekatan. Oleh itu, ingat sementara belum kena,  berjimat sementara belum habis.

         Seterusnya peranan pihak sekolah juga tidak boleh dianggap ringan dalam usaha mengatasi masalah kenaikan harga barang-barang. Para guru sepatutnya menasihati pelajar sentiasa berjimat cermat,  jangan suka membazirkan wang dan jangan suka berhutang jikalau tiada wang mahu membeli sesuatu barang. Pihak sekolah patut menyuruh pelajar membawa bekalan makanan dan minuman.   Pihak sekolah juga seharusnya mengasuh pelajar aktif dalam kegiatan pertanian seperti pada masa lampau.  Pelajar seelok-eloknya dilatih menanam jagung,  ubi, sawi, kacang panjang, terung dan petola.  Kempen kesedaran tentang kepentingan kita berbelanja mengikut fikiran,  bukan menurut nafsu wajar diterap dalam kalangan pelajar hari ini.  Peraduan menulis esei,  pertandingan bahas,  syarahan yang bertemakan jimat cermat, suka menabung, tidak suka membazir patut sering diadakan dalam kalangan pelajar.  Sekolah mesti bekerja keras mendidik pelajar mencegah kenaikan harga barang-barang  kerana pelajar hari ini merupakan pemimpin pada hari mukaOleh itu,  didiklah murid atau pelajar hari ini dalam hal kepengunaan.  Jikalau hendak melentur aur biarlah dari rebung.  

        Seperkara lagi,  pihak media massa juga penting untuk menangani masalah kenaikan harga barang-barang di negara ini.  Akhbar,  majalah, radio, televisyen serta Internet seharusnya menyiarkan berita besar-besaran tentang pengguna yang suka menyorok barang keperluan terutama barang yang amat diperlukan oleh semua bangsa seperti beras, tepung, gula, minyak masak, teh, kopi, santan kelapa dan sebagainya. Bukan hanya menyiarkan berita peniaga menyorok barang bahkan berita peniaga diberkas kerana menyorok barang atau menaikkan harga barang sesuka hati.  Media massa wajar mengklifikasikan mereka sebagai malaun, petualang yang menjahanamkan negara kerana perbuatan mereka boleh menyebabkan bayi  atau kanak-kanak mati kebuluran, menyebabkan manusia mencuri, merompak atau membunuh kerana mahu mendapatkan makanan.  Lebih malang lagi,  mereka sendiri boleh menjadi mangsa rakyat yang membakar kedai atau kilang mereka atau rakyat yang mahu membunuh mereka. Akhbar Utusan Malaysia melaporkan, di Indonesia,  berlaku kes orang kampung membakar kedai dan gudang menyimpan makanan kerana anak dan keluarga mereka kelaparan tetapi  masih ada orang yang tersenyum dan lebih mengutamakan wang iaitu peniaga.  Dalam erti kata yang lain, media massa seharusnya tolong membuka mata dan memasang telinga para peniaga yang siang malam hanya memikirkan keuntungan, kiblat mereka ialah wang dan peniaga juga patut disedarkan iaitu mereka sudah cukup kaya atas keringat dan air mata orang miskin. Tegasnya, sebelum nasi menjadi bubur, teguran dan pendedahan yang diketengahkan oleh media massa wajib diinsafi oleh semua pihak yang bergelar peniaga, usahawan, orang tengah atau korporat.
       Intihanya,  peranan kerajaan juga begitu penting dalam usaha menangani kenaikan harga barang keperluan.  Pihak kerajaan seharusnya menggubal  undang-undang yang bertujuan mencegah kenaikan harga barang-barang keperluan.  Di sinilah kata-kata hikmat 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.  Kerajaan mesti mengutamakan rakyat dalam hal kenaikan harga barangan.  Kebanyakan rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi yang bermastautin di kampung dan kawasan pedalaman. Berbeza dengan peniaga yang rata-rata berada atau kaya. Undang-undang antisorok, antiinflasi, antikenaikan harga barang mesti dikuatkuasakan sepenuhnya bukan hangat-hangat tahi ayam.  Saban tahun menjelang hari raya Aidilfitri sudah pasti harga ayam akan naik, harga tepung, gula, minyak masak, tepung naik mendadak.  Mengapa pengeluar, pembekal dan peniaga berani menyorok dan menaikkan harga?  Mereka tahu kerajaan tidak akan bertindak tegas terhadap mereka.  Penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dengan kenaikan harga barang-barang diperlekehkan, tidak dipedulikan oleh peniaga.  Tidak banyak yang kena tangkap kerana melanggar undang-undang yang menghalang kenaikan harga barang.  Pegawai yang bertugas menguar-uarkan bahawa gula, tepung, minyak masak tidak naik harga tetapi dalam masa yang sama barang terebut naik harga malah ada tepung yang dicampur dengan benda-benda asing.  Kita lihat,  tidak adanya keharmonian dalam dunia perniagaan dewasa ini. Pendek kata, kerajaan mesti bertindak tegas tanpa memilih bulu.  Kenakan hukuman penjara, menarik balik lesen perniagaan, denda wang yang lebih tinggi atau dibuang negara.  Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan,  saya yakin harga barang-barang tidak dinaikkan sesuka hati. Seperkara lagi, kerajaan sendiri sepatutnya berjimat cermat,  jangan membazirkan wang dengan projek yang tidak menguntungkan rakyat. Jangan biarkan peniaga yang tidak berhati perut menguasai dunia perniagaan. 

       Kesimpulannya, semua pihak di negara ini wajar berganding bahu bagaikan aur dengan tebing untuk mengekang kenaikan harga barang-barang keperluan harian.  Kepada para peniaga pula, mereka patut mempunyai sifat kasih sayang terutama terhadap orang yang tidak berkemampuan.  Patuhilah etika perniagaan, wujudkan rasa ingin membantu pihak yang lemah. Perpaduan biasanya akan menelurkan kejayaan yang cemerlang.

                                                    Waktu malam memasang pelita,
                                                    pelita dipasang bilik pun terang;
                                                    wahai insan bersatulah kita,
                                                    tangani masalah kenaikan harga barang.

                                   
MAKSUD KOSA KATA & PERIBAHASA

Warna  merah tua ialah kosa kata
Warna biru muda ialah peribahasa

1.      perkara asing    ~ semua orang tahu
2.      saban hari     ~ setiap hari, hari-hari
3.      buah mulut   ~ perkara yang selalu dicakap
4.      terpampang  ~  dapat kita lihat
5.      beraja di mata bersultan di hati  ~orang yang membuat sesuatu sesuka hati yang menyusahkan orang
6.      asam garam ~ kebiasaan
7.      zaman silam  ~  pada masa lalu
8.      mengabui mata ~  menipu
9.      dilaksanakan  ~  dibuat
10.    hendak seribu daya tidak hendak seribu alasan ~ jikalau mahu membuat sesuatu tentu akan berjaya
11.    iltizam  ~  tanggungjawab, komitmen
12.    mengekang  ~ mengatasi, menahan
13.    mengasuh ~ mengajar, mendidik
14.    menabung ~ menyimpan wang
15.    terpengaruh ~  terikut
16.    tidak berhemah berbelanja ~ tidak menggunakan fikiran semasa membeli barang
17.    terpedaya ~ terikut
18.    menangguk di air keruh ~ menipu orang semasa orang itu dalam kesusahan
19.    tidak boleh dianggap ringan ~ masalah yang berat
20.    mengasuh ~  mengajar
21.    membazir ~ membuang masa, membuang wang
22.    sering ~ selalu, kerap
23.    pelajar hari ini merupakan pemimpin pada hari muka ~ pemimpin pada masa akan datang
24.    jikalau hendak melentur aur biarlah dari rebung ~ didik manusia mestilah dari kecil lagi
25.    media massa ~ alat sebaran am seperti radio, tv, akhbar, majalah dan Internet
26.    diberkas ~ ditangkap, dicekup
27.    malaun ~ syaitan, iblis, orang yang tidak berguna
28.    petualang ~ orang yang merosakkan orang lain
29.    menjahanamkan ~ menghancurkan
30.    malang ~ nasib yang buruk, nasib tidak baik
31.    membuka mata dan memasang telinga ~ menyedarkan seseorang
32.    kiblat ~ mengikut seseorang
33.    keringat ~ bekerja keras
34.    sebelum nasi menjadi bubur ~ sebelum perkara buruk berlaku
35.    diketengahkan ~ diberitahu kepada semua orang
36.    diinsafi ~ disedari
37.    intihanya ~ akhirnya
38.    menggubal ~ merangka, menyediakan
39.    bermastautin ~ tinggal, tempat kita duduk
40.    berada ~ kaya
41.    hangat-hangat tahi ayam ~ pada mulanya rajin tetapi akhirnya malas, mula-mula elok kemudian
         tidak elok
42.    bertindak tegas ~ mengambil tindakan yang berkesan
43.    diperlekehkan  ~ dianggap tidak penting
44.    menguar-uarkan ~  memberitahu,  menerangkan
45.    benda-benda asing ~ sesuatu yang lain
46.    keharmonian ~ keamanan, ketenangan
47.    memilih bulu ~ membezakan orang yang disukai dengan orang yang tidak disukai
48.    dilaksanakan ~ dijalankan
49.    tidak berhati perut ~ jahat, tidak bertanggungjawab
50.    wajar berganding bahu ~ patut bersatu padu
51.    bagaikan aur dengan tebing ~ tolong-menolong sesama manusia
52.    etika ~ peraturan, undang-undang
53.    menelurkan ~ memberikan hasil

PANJANG ESEI CONTOH DI ATAS
LEBIH DARIPADA 1,000 PATAH PERKATAAN

                                              ---------------------SELESAI-----------------



      
    
    










No comments:

Post a Comment