Thursday, January 27, 2011

KARANGAN BAHASA MELAYU KERTAS JUN 2010. TAJUK 2

PELAJARAN 3

Tajuk 2 Karangan bahasa Melayu SPM Kertas Jun 2010

Tulis sebuah karangan daripada tajuk di bawah ini sepanjang tidak kurang daripada 350 patah perkataan.

Amalan meraikan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu,  Hari Bapa dan hari lahir setiap ahli keluarga semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Huraikan kepentingan-kepentingan meraikan hari-hari istimewa tersebut.

Langkah pertama

Baca tajuk soalan dengan teliti.  Untuk soalan ini garis :
                                                                      
                                                    Hari istimewa                     contohnya:  Hari Ibu, Hari Bapa

                                                    Kepentingan                      mengapa hari-hari ini penitng?

                                                   Huraikan                            format. Esei ini tiada format/format bebas

Langkah kedua

Fikir beberapa perkara.

1.     Apakah hari istimewa yang lain?    Hari Pengguna,  Hari Kanak-kanak. Hari Alam Sekitar
                                                            Hari Wilayah dan banyak lagi.
                                                            Dalam esei ini kita utamakan Hari Ibu, Hari Bapa atau hari lahir
                                                            anak-anak.

2.     Buat rangka kasar karangan.

             Intro    pengenalan karangan    bina 3 -4 ayat

            Isi 1 1     bina 5-10 ayat

            Isi 2       bina 5-10 ayat

            Isi 3       bina 5-10 ayat

            Isi 4       bina 5-10 ayat

            Isi 5       bina 5-10 ayat

          Penutup     kesimpulan karangan ini   bina 3-4 ayat

3.     Guna 30 -50 kosa kata atau rangkai kata yang berkualiti yang relevan dengan tajuk

4.     Fikir  penanda wacana hendak dipakai. Contoh:    selain itu, selanjutnya, seperkara lagi, di samping itu

5.    Fikir kata hubung hendak diguna.  Contoh: baik.....baik,  Bukan sahaja ......tetapi

6.    Fikir peribahasa apa hendak ditulis, kata-kata hikmat, moto

7.    Fikir contoh-contoh yang relevan/berkaitan dengan tajuk yang diberi.

8.    Bagaimana mahu menjadikan esei kita berkualiti yang boleh menarik pembaca.

10.  Panjang ayat peringkat SPM,  8 -15 perkataan. Ayat jangan sangat panjang, jangan sangat pendek

11.  Satu perenggan satu isi.  Jangan campur dua atau tiga isi dalam satu perenggan.

12.  Ejaan,  tanda bacaan mesti betul. Bukan masalah potong markah jikalau ejaan salah.
       Ada masalah yang lagi besar sebenarnya dalam hal ejaan ini.  Contohnya, ada pelajar yang mengeja
       PELANCUNG untuk untuk menunjukkan pelawat tetapi ejaan sebenarnya ialah  PELANCONG
       Pelancong dengan pelancung, dua perkataan yang berbeza maknanya.  Pelancong bermaksud
       pelawat manakala Pelancung bermaksud penipu.
      Ada pelajar mahu mengeja MENGILAI untuk maksud sangat suka (MENGGILAI).  Remaja
      pada masa kini sangat menggilai facebook. MENGILAI maksudnya ketawa yang panjang-panjang
      yang biasa dilakukan oleh pontianak itu.  Contoh lain, pelajar mahu mengeja BELAYAR untuk ayat
      Kapal perang nukler Ronald Reagan berlayar dari pelabungan Kelang ke Mumbai. Berlayar bermaksud  
      kapal itu ada layar atau mempunyai layar, berlayar.....berlayar putih, berlayar hijau.  Begitu juga
      perkataan petinju dengan peninju.  Sepatutnya.... Muhammad Ali merupakan petinju yang hebat pada
      tahun tujuh puluhan TETAPI ada pelajar menulisnya begini:  Muhammad Ali merupakan peninju yang
      hebat pada tahun tujuh puluhan.  Maksud PENINJU ialah penumbuk atau buku lima. Petinju pula
      bermaksud ahli tinju atau dalam bahasa Inggeris disebut 'boxer'. Satu lagi yang
      pernah saya jumpa ialah perkakaatn MENGGALAHKAN untuk maksud menewaskan.  Ayatnya begini:
      Pasukan A berjaya menggalahkan pasukan B dalam pertandingan badminton itu. Sepatutnya dieja,
     mengalahkan  (satu g sahaja). MENGGALAHKAN bermaksud menggunakan galah, buluh yang
     panjang untuk melayarkan perahu. Ada yang geli hati pula, pelajar mengeja terbalik, contohnya:
     Kepala dieja  kelapa.  Kelapa saya terasa pening kerana tidak cukup tidur.  Samad sangat suka makan
     mi berus...... sebenarnya Samad sangat suka makan mi rebus.  Oleh itu, berhati-hati dalam ejaan.

13.  Apa-apa yang sudah ditulis jangan ulang lagi.  Sekali tulis sahaja.


RANGKA KARANGAN

Intro     -   Ayat 1   - salin daripada soalan/ ubah satu dua perkataan
                 Ayat 2   - saya sangat menyokong tajuk ini
                 Ayat 3   - semakin banyak orang Malaysia meraikan Hari Ibu atau Hari bapa

Isi 1       -  Ayat 1   - Hari Ibu, Hari Bapa penting kerana kita mahu mengingati tanggungjawab mereka
                 Ayat 2   - kita sayang akan mereka
                 Ayat 3  -  kita mahu menghargai tugas ibu yang melahirkan kita
                 Ayat 4  - tugas bapa mencari rezeki

Isi 2          Ayat 1   -Hari Ibu, Hari Bapa penting disambut kerana kita mahu memberi mereka hadiah
                Ayat 2   -hadiah jam, baju, kasut, buku  ....bersifat kebendaan atau materialistik
                Ayat 3   -hadiah kejayaan dalam pelajaran
                Ayat 4   -hadiah kejayaan dalam pekerjaan.

                                                               PERHATIAN
               Soalan yang sedang kita bincang sekarang ialah soalan SPM Kertas Jun 2010.  Kebanyakan
               calon kertas ini ialah guru, doktor, peguam, jurutera, jururawat, pelajar kolej.  Calon boleh
               menulis hadiah yang diberikan kepada ibu bapa ialah rumah,  kereta,  jam Rolex, komputer
               riba, telefon bimbit, I pad dan macam-macam lagi yang berkualiti dan berjenama kerana hadiah
               tersebut hendak diberi kepada ibu bapa kita sendiri.

Isi 3        Ayat 1  - Hari Ibu, hari Bapa penting kerana hari kita dapat makan bersama-sama
              Ayat  2 - bawa ibu atau bapa ke restoran yang paling istimewa contohnya Restoran KL Tower
              Ayat 3 -  hari ini kita tidak mahu ibu memasak untuk kita
              Ayat 4 -  lebih kreatif,  hari ini anak-anak yang masak

Isi 4       Ayat 1 - Hari Ibu, Hari Bapa penting kerana kita mahu duduk bersama,  berbual-bual
                        -  mahu tanya cara ibu bapa mendidik anak sampai berjaya dalam hidup
                        -  mahu meminta nasihat yang bernas daripada ibu bapa
                        -  menasihati mereka, jangan hisap rokok, jangan minum arak, jangan berjudi

Isi 5      Ayat 1 -  Hari Ibu, Hari Bapa penting kerana biar semua orang tahu bahawa ibu bapa itu penting
            Ayat 2 -  seluruh manusia wajib insaf  terhadap insan yang bergelar ibu dan bapa
            Ayat 3 -  jikalau seseorang itu tidak kahwin bagaimana dia boleh menjadi ibu atau bapa?
            Ayat 4 -  sejak akhri-akhir ini banyak orang tidak menghormati ibu bapa 

Penutup
            Ayat 1  -  Kesimpulannya Hari Ibu,  Hari Bapa wajar disambut saban tahun
            Ayat 2  -  apa lagi yang kita boleh lakukan sebagai tanda sayang kita kepada mereka
            Ayat 3  -  memang bertuah sesiapa yang masih ada ibu bapa
            Ayat 4  -  reka pantun untuk mereka

Langkah ketiga

Menulis karangan sepenuhnya.  Guna satu setengah muka surat test pad atau dua muka. Panjang esei anda
lebih kurang 350-400-500 perkataan.

Langkah keempat

Semak semula karangan yang sudah ditulis.  Betulkan ejaan yang salah, tanda bacaan yang salah.  Jangan lupa menulis nombor soalan.   Selesai tugas anda.

KARANGAN CONTOH


     Amalan meraikan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu,  Hari Bapa dan hari lahir setiap ahli keluarga semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia dewasa ini. Semakin banyak orang Melayu,  Cina,  India,  Punjabi,  Iban,  Kadzan, Murut dan Malanau yang menyedari kepentingan Hari Ibu,  Hari Bapa atau hari lahir setiap ahli keluarga. Memang banyak sebab hari-hari tersebut diraikan sama ada secara kecil-kecilan atau secara sederhana atau secara besar-besaran.

     Petama-tama kepentingan Hari Ibu atau Hari Bapa diraikan ialah kita mahu mengingati iltizam atau tanggungjawab ibu bapa kepada kita.  Pada hari berkenaan sudah pasti akan kita insaf betapa besarnya tugas ibu bapa memelihara kita sehingga menjadi manusia yang sempurna.  Berat sungguh penderitaan ibu semasa hamil. Siang dan malam ibu berhati-hati,  berwaspada dalam apa juga kerja agar kandungan sentiasa selamat.  Bapa pula bekerja keras mencari rezeki, membawa ibu ke hospital dan akhirnya bersama-sama ibu menyambut orang baru dalam kehidupan mereka.  Dengan adanya hari-hari tersebut barulah kita insaf bahawa ibu bapa merupakan insan yang tidak wajar kita derhakai, tidak wajar kita membelakangi arahan atau nasihat mereka yang sentiasa  gigih dalam menghadapi kehidupan di dunia  yang penuh dengan pancaroba ini.  Jangan sekali-kali kita menjadi manusia yang tidak berhati perut dengan melupai jasa ibu bapa.  Dalam agama Islam, Buddha, Hindu atau Kristian perbuatan menderhakai ibu bapa boleh mengakibatkan mereka dihumban ke dalam neraka.  Menurut ajaran Islam,  seburuk-buruk sikap ibu atau bapa kita, mereka tetap ibu bapa kita.  Wajib kita sayang akan mereka sementelahan mereka masih hidup. Janganlah setelah kita kini cantik, kacak, kaya, ada harta, ada pangkat maka kita menjadi kacang lupa akan kulit. Bukan itu sahajabuka mata kita, pasang telinga kita bahawa syurga di bawah tapak kaki ibu dan bapa.

     Selanjutnya,  Hari Ibu atau Hari Bapa atau hari lahir adik, abang atau kakak merupakan hari yang bertuah kerana pada hari ini kita dapat menyampaikan hadiah yang istimewa dengan tangan kita sendiri kepada pihak berkenaan.  Kita boleh menghadiahi mereka pakaian, jam tangan, komputer riba,  telefon bimbit yang paling canggih dan sebagainya.  Bukan itu sahaja,  kita boleh membawa ibu bapa atau ahli keluarga yang diraikan menaiki kapal atau kapal terbang.   Dalam kalangan orang berada dan berwang biasanya menghadiahkan kereta, rumah, tanah atau saham kepada ibu bapa. Kedapatan pula anak-anak yang memberi hadiah sekuntum bunga mawar kepada ibu atau bapa atau adik-beradik yang disayangi.  Paling kurang,  anak akan menghadiahkan ciuman untuk ibu bapa atau orang yang disayangi. Perlu kita ingat bahawa ibu bapa bukanlah menggilai hadiah yang mahal-mahal sebaliknya mereka lebih bahagia andai kata anak-anak sihat, amat intim hubungan dengan ibu bapa, berjaya dalam kehidupan,  itulah sebenarnya hadiah yang paling istimewa.

     Di samping itu, meraikan Hari Ibu atau hari Bapa elok kita adakan saban tahun kerana pada hari tersebut kita boleh makan bersama-sama orang yang kita raikan.  Jikalau semasa kita kecil dahulu, ibu bapa yang menyuapkan makanan dan minuman kepada kita, kini peluang terbaik untuk kita melakukan perkara yang sama.  Kita boleh membawa ibu bapa ke restoran yang paling mahal di Kuala Lumpur seperti Restoran Kuala Lumpur Tower atau makan di hotel mewah atau gerai makan yang paling lazat makanannya. Pada hemat saya paling menarik ialah kita memasak sendiri makanan kegemaran ibu bapa kita dengan tangan kita sendiri, bahan-bahannya dibeli dengan wang kita sendiri,   menghidangkan makanan dan minuman mereka di rumah ibu bapa kita.

   Seperkara lagi, meraikan ibu dan bapa pada Hari Ibu atau Hari bapa memang wajar kerana pada hari itulah kita mempunyai masa yang terluang untuk berinteraksi dengan mereka.  Jikalau pada hari lain, kita atau ibu bapa asyik sibuk dengan urusan masing-masing maka pada hari istimewa ini kita dapat berbual-bual seberapa lama yang kita suka.  Kita boleh berbual-bual dengan mereka sambil bertanya kesihatan mereka, kita boleh bertanya tentang cara mereka mendidik kita sampai kita berjaya menjadi doktor atau jurutera.  Kita sepatutnya mahu tahu apakah formula yang digunakan oleh ibu yang kerap kita dengar, seorang ibu mampu memelihara sepuluh anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu membela seorang ibu?  Bukan setakat itu sahaja,  ada banyak perkara yang wajar kita tanyai pada ibu bapa kerana mereka terlebih dahulu makan garam.   Tidak keterlaluan saya katakan bahawa aak-anak juga boleh memberi nasihat kepada ibu bapa.  Bukanlah bermaksud itik mengajar anak-anak berenang.  Pada zaman yang canggih ini banyak perkara yang kita tidak mengerti atau tidak faham tetapi hasil pembacaan kita melalui Internet maka kita memperoleh pengetahuan dan ilmu.  Contohnya,  ibu bapa kita tidak faham akan pertanain organik.  Kitalah yang wajar memberitahu mereka.  Kita wajar menasihati ibu bapa makan sayur-sayuran organik kerana sayur-sayuran, buah-buahan dan daging pada hari beracun menyebabkan kita mudah diserang kanser. Nasihatkan ibu bapa kita jangan merokok, jangan minum arak dan jangan bermain judi. Ibu bapa menasihati kita manakala kita pula memberi pendapat kepada ibu bapa. Nasihat secara timbal balas ini jikalau kena caranya sudah pasti akan menelurkan hasil yang memuaskan semua pihak.

     Akhir sekali, Hari Ibu atau Hari Bapa memang wajar kita raikan kerana kita mahu kehebatan ibu bapa disanjungi secara global.  Pada hari tersebut baru insan di dunia ini mencelikkan mata dan melihat kepentingan ibu bapa di dunia ini.   Sayang seribu kali sayang,  sejak akhir-akhir ini banyak anak yang tidak segan-silu memarahi ibu bapa,  menengking ibu bapa, menipu ibu bapa, membiarkan ibu bapa hidup merana dan miskin dan yang paling malang ialah anak sanggup membunuh ibu bapa kerana wang, kerana harta. Mengapakah anak-anak hari in tergamak menconteng arang di muka ibu bapa?  Oleh itu, dengan adanya Hari Ibu atau Hari Bapa dihaharap sesiapa yang selama ini membelakangkan ibu bapa, ubahlah sikap buruk itu. Dalam agama Islam,  anak yang memilih jodoh dengan membelakangi ibu bapa maka Allah sendiri tidak meredai perkahwin mereka. Dalam buku yang berjudul 'My Story' karya mendiang Lim Goh Tong,  bekas jutawan Malaysia sangat percaya bahawa kejayaan manusia banyak bergantung pada ibu. Itulah sebabnya jikalau sesiapa pergi ke pejabat Lim Goh Tong di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, kita dapat melihat gambar emak Lim Goh Tong, bukan gambar isterinya.  Pemain piano seantero dunia Yani, mesti membawa emaknya ke mana-mana di serata dunia  jikalau beliau mengadakan konsert. Pemain tenis dunia Roger Federar juga akan membawa ibunya menyaksikan pertandingan yang disertainya.   Sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu atau bapa memang sangat penting kepada kita dan meraikan Hari Ibu atau Hari Bapa itu memang wajib.

     Kesimpulannya, meraikan Hari Ibu atau Hari Bapa memang patut diadakan saban tahun. Tidak tahu apa akan terjadi dunia kita ini jikalau ibu bapa, adik, abang, kakak yang banyak berjasa tidak dihargai.  Kita akan menyesal yang tidak berpenghujung  setelah mereka menutup mata selama-lamanya dan pada masa itu menyesal dan tangisan sudah tidak bermanfaat lagi.  Menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Selamat Hari Ibu atau Hari Bapa.


MAKSUD PERKATAAN, RANGKAI KATA ATAU PERIBAHASA

1.     Dewasa ini  ~ sekarang, kini
2.     Pertama-tama  ~ perkara yang sangat penting
3.     Berkenaan  ~ itu, tersebut
4.     Menjadi manusia yang sempurna  ~ baik
5.     Penderitaan  ~ kesusahan
6.     Berwaspada  ~ berjaga-jaga, berhati-hati
7.     Derhakai ~ lawan, tentang, benci
8.     Membelakangi  ~ tidak peduli,  tidak ikut
9.     Gigih  ~ bekerja keras, berusaha bersungguh-sungguh
10.   Penuh dengan pancaroba ini ~ banyak masalah,  banyak dugaan
11.   Jangan sekali  ~ tidak membuat yang buruk walaupun sekali
12.   Tidak berhati perut  ~  jahat, tiada perasaan baik
13.    Dihumban  ~  dicampakkan,  dibuang
14.    Sementelahan  ~ lebih-lebih lagi
15.    Peribahasa: Kacang lupa akan kulit  ~ tidak ingat akan jasa atau kebaikan orang terhadap kita
16.    Buka mata, pasang telinga  ~  sedarlah, beri perhatian
17.    Peribahasa: Syurga di bawah tapak kaki ibu atau bapa  ~ ibu dan bapa sangat penting, istimewa
18.    Hari yang bertuah  ~  sangat baik, sangat gembira
19.    Dengan tangan kita sendiri  ~ kita usaha sendiri , orang lain tidak memberi pertolongan
20.    Berada dan berwang  ~ hidup senang dan banyak wang
21.    Kedapatan  ~ ada, terdapat
22.    Menggilai  ~ sangat suka
23.    Intim  ~ hubungan yang sangat rapat
24.    Saban  ~ setiap
25.    Paling lazat  ~  sangat sedap
26.    Masa yang terluang  ~ masa lapang
27.    Berinteraksi  ~ berhubung
28.    Peribahasa:  terlebih dahulu makan garam  ~ sangat banyak pengalaman, banyak yang dirasai
29.    Tidak keterlaluan ~ tidak berlebih-lebihan, memang benar
30.    Peribahasa:  Itik mengajar anak berenang  ~ mengajar orang yang sudah tahu atau orang yang pandai
31.    Canggih  ~ sangat maju, terkehadapan,
32.    Nasihat secara timbal balas ~  nasihat antara satu sama lain, sama-sama memberi nasihat
33.    Menelurkan ~ menghasilkan,  memberi pulangan yang baik
34.    Disanjung secara global  ~ dihormati di serata dunia, dunia menghormati ibu dan bapa
35.    Mencelikkan mata  ~ sedar diri,  insaf
36.    Sayang seribu kali sayang ~ rugi, sangat buruk nasib, malang
37.    Tidak segan silu ~ tidak ada perasaan malu,  tidak tahu malu
38.    Tergamak ~ sanggup, sampai hati
39.    Peribahasa : menconteng arang di muka ~ memalukan
40.    Membelakangkan  ~ tidak menghormati, tidak peduli,  tidak ambil berat
41.    Seantero dunia ~ sekuruh dunia
42.    Sudah terang lagi bersuluh ~ semua orang tahu atau faham
43.    Menyesal yang tidak berpenghujung  ~ sentiasa menyesal,  hari-hari menyesal
44.    Menutup mata selama-lamanya  ~ meninggal dunia,  mati
45.    Menyesal dahulu pendaptan menyesal kemudian tidak berguna  ~ lebih baik awal-awal menyesal







    




    





           



         


No comments:

Post a Comment