Monday, January 3, 2011

PELAJARAN 1 TATABAHASA KATA GANTI NAMA DIRI

Pengenalan

Soalan peperiksaan yang berkaitan dengan KGND (Kata ganti nama diri) selalu ditanya.  Nampaknya soalan ini agak mudah tetapi kadang-kadang mengelirukan kita.  Kadang-kadang jawapan yang diberikan oleh pelajar itu betul, bukan betul kerana dia faham tetapi dia menjawab secara rambang sahaja!  Jangan memberi jawapan secara rambang, belajar dan belajar sampai faham.  Soalan ini senang sahaja. Satu perkara lagi KGND ini sering disalahgunakan oleh orang Melayu, Cina, India, Punjabi, Iban, Kadazan, pelancong asing dan sebagainya.  Lebih malang lagi kesalahan menggunakan KGND ini memalukan diri dan mencacatkan bahasa Melayu itu sendiri.
Ingat,
                         Yang kurik kundi,
                         yang merah saga;
                         yang cantik budi,
                         yang indah bahasa.

     Saya akan memberi panduan yang mudah kepada pelajar cara menggunakan ganti nama diri ini.

KATA GANTI NAMA DIRI

Kata ganti nama diri terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:

                                                           Ganti nama diri yang pertama
                                                           Ganti nama diri yang kedua
                                                           Ganti nama diri yang ketiga

Ganti nama diri yang pertama

Saya    -  ganti nama diri paling cantik dan terpuji penggunaannya.

contoh

1.   "Saya sudah menghantar nota itu kepada cikgu Tan." kata Kar Fei.
2.   "Saya akan memberi hadiah kepada pemenang kuiz." kata cikgu Francis kepada pelajar-pelajar.
3.   "Saya berharap penduduk kawasan perumahan ini boleh bekerjasama." kata Perdana Menteri.

contoh kesalahan
1.   "Aku sudah menghantar nota itu kepada cikgu Tan." kata Kar Fei.
2.   "I akan memberi hadiah kepada pemenang kuiz." kata cikgu Francis kepada pelajar-pelajar.
3.   "Kita berharap penduduk kawasan perumahan ini boleh bekerjasama." kata Perdana Menteri.


Aku  - digunakan oleh orang yang lebih tua ketika bercakap. Penggunaan aku antara kawan dengan kawan dianggap kasar dan tidak sopan. Ada anak menggunakan aku semasa bercakap dengan ibu bapa, abang atau kakak. Terdapat juga pelajar menggunakan aku semasa bercakap dengan gurunya. Mengapa ini terjadi?  Sebabnya ialah, dia biasa menggunakan perkataan I daripada English yang diterjemahkan menjadi aku.
           
contoh        

1.   "Aku hendak ke sawah sekejap." kata Pak Mat kepada jirannya.
2.  "Cis Jebat, aku tidak gentar/takut berhadapan dengan kamu!" kata Tuah.
3   "Aku tidak percaya akan keikhlasanmu." kata  Haji Cikuf kepada kekasihnya Lebar Daun.  

contoh kesalahan   
1.   "Kita hendak ke sawah sekejap." kata Pak Mat kepada jirannya.
2.   "Cis Jebat, saya tidak gentar/takut berhadapan dengan kamu!" kata Tuah.
3.   "Saya tidak percaya akan keikhlasanmu." kata Haji Cikuf kepada kekasihnya Lebar Daun.

KEKECUALIAN

Satu perkara yang agak pelik atau luar biasa ialah sesama manusia pandai menggunakan ganti nama yang cantik seperti saya tetapi dengan Allah lain pula jadinya.

contoh kesalahan

1.   "Ya Allah, ya Tuhan saya yang pemurah dan penyayang, ampunkan dosa saya." kata Tuk Imam itu.
2.   "Wahai Tuhan sekalian alam, murahkan rezeki saya." kata pemuda itu.

sepatutnya

1.   "Ya Allah, ya Tuhanku yang pemurah dan penyayang, ampunkan dosaku." kata Tuk Imam itu.
2.   "Wahai Tuhan sekalian alam, murahkan rezeki aku." kata pemuda itu.
atau
      "Wahai Tuhan sekalian alam, murahkan rezeki hambamu ini." kata pemuda itu.

Hamba            digunakan semasa bercakap dengan Penghulu atau Ketua Kampung. 
                       Walau bagaimanapun, sekarang tidak digunakan lagi.

contoh

1.   "Hamba telah menghantar  beras ke rumah perempuan itu." kata Daik kepada Penghulu.
2.   "Hamba akan mengikut arahan tuan hamba itu (anda/kamu/awak).

Patik             digunakan semasa bercakap dengan raja atau sultan.

contoh

1.   "Patik akan menangkap harimau itu." kata Nicholas kepada Sultan Melaka.
2.   "Jikalau patik bersalah, hukumlah patik." kata Day Yong kepada Sultan Johor.

contoh kesalahan

1.   "Patik akan menangkap harimau itu." kata Nicholas kepada Thivian.
Kenapa salah?
sebab tidak ada raja atau Sultan.  Nicholas dan Thivian bukan raja atau sultan.

2.   "Jikalau saya bersalah, hukumlah saya." kata Day Yong kepada Sultan Johor.

Beta      digunakan oleh raja atau Sultan.  Maksudnya saya.

contoh

1.   "Beta merasmikan kantin Sekolah Menengah Victoria ini." titah Sultan Edred.
2.   "Badan beta gatal-gatal, mari permaisuri kita mandi." titah Sultan Joo Yee kepada isterinya.

Ayah, emak,  datuk,  nenek,  cikgu                   digunakan oleh orang yang bercakap.

contoh

1.   "Ayah sudah membeli buku-buku yang dipesan." kata Pak Ali.

salah

1.   "Saya sudah membeli buku-buku yang dipesan." kata Pak Ali.

CONTOH KESALAHAN YANG LUAR BIASA, YANG PELIK
JANGAN IKUT!

1.   "Awak, bila awak akan bercuti?" tanya Jeff kepada isterinya.

sepatutnya

      "Ani, bila Ani akan bercuti?" tanya Jeff kepada isterinya.

2.   "Abang mesti belajar bersungguh-sungguh." kata Puan Aisyah kepada anaknya Faizal yang berumur 7 tahun.
Apakah hubungan Puan Aisyah dengan Faizal?
Penggunaan kata ganti nama diri pertama begini selalu kita dengar.  Mengapa ini terjadi?  Ini bermakna kita tidak mencintai bahasa kita.  Tentulah salah kalau ibu memanggil anak dengan panggilan abang.  Bagaimana dengan suami? Suami pun diam saja, tak cakap apa-apa sebab tidak tahu!

sepatutnya

"Faizal mesti belajar bersungguh-sungguh." kata Puan Aisyah kepada anaknya Faizal yang berumur 7 tahun.

Lebih teruk lagi

"Kakak, jangan menangis." pujuk nenek Mah kepada cucunya yang berumur 3 bulan itu.

sepatutnya

"Cucu atau Diana, jangan menangis." pujuk nenek Mah kepada cucunya yang berumur 3 bulan itu.

"Kawan tidak setuju harga rokok dinaikkan kerana membebankan kawan." kata Pak Jali.

sepatutnya

"Saya tidak setuju harga rokok dinaikkan kerana membebankan kami." kata Pak Jali.

PENGGUNAAN KATA GANTI NAMA DIRI
KAMI
KITA

Ganti nama diri kami dan kita ini juga sering disalahgunakan oleh semua bangsa. Bersatu padu rakyat Malaysia, 1 Malaysia menggunakan ganti nama diri yang salah!

BETULKAN SEGERA

Ganti nama diri pertama KAMI dan KITA ini digunakan untuk menunjukkan banyak orang. Lebih daripada seorang.

KAMI

Digunakan oleh penulis atau orang bercakap TIDAK melibatkan orang yang mendengar.
Jikalau pelajar menulis karangan atau surat, penggunaan KAMI menunjukkan penulis tidak terlibat dengan pembaca, atau guru atau pemeriksa kertas atau orang yang mendengar.

contoh

1.   "Cikgu, kami akan membuat latihan yang diberikan oleh cikgu." kata Phoebee kepada cikgu Edna bagi pihak kawan-kawannya.

Kami digunakan kerana yang membuat latihan ialah Phoebee dan rakan-rakan, bukan cikgu Edna.

salah

"Cikgu, kita akan membuat latihan yang diberikan oleh cikgu." kata Phoeebe
Dalam ayat yang pelik ini , cikgu Edna juga membuat latihan.

2.     "Kami akan bertindak tegas terhadap pelajar yang suka ponteng sekolah." kata Pengetua.
Yang bertindak ialah Pengetua dan pihak sekolah termasuk guru disiplin.


salah

"Kita akan bertindak tegas terhadap pelajar yang suka ponteng sekolah." kata Pengetua.
Ayat ini menunjukkan Pengetua, pelajar, jaga, nyonya kantin, ketua murid, penolong ketua murid, penjaga perpustakaan sama-sama bertindak.  Pelik ayat ini!

3.   "Tolong jaga anak-anak kami semasa saya dan isteri,  Lady Gaga ke pejabat." kata Edred kepada adik perempuannya.
Ayat ini menunjukkan Edred bercakap tidak melibatkan adiknya. Dia minta adiknya menjaga anak-anak dia dengan Lady Gaga.

salah

"Tolong jaga anak-anak kita semasa saya dan isteri, Lady Gaga ke pejabat." kata Edred kepada adik perempuannya.
Ini lagi satu ayat yang pelik bunyinya.
Ayat ini bermaksud Edred, Lady Gaga dan adik perempuan Edred sama-sama mempunyai anak itu.

4.     "Jenayah kecil atau besar mesti dilaporkan kepada kami." kata Ketua Polis Negara.
Jarang-jarang Ketua Polis Negara bercakap seperti ini. Inilah ayat yang betul ganti namanya. Jenayah mesti dilaporkan kepada pihak polis.  Biasa yang sering didengari di televisyen, akhbar, majalah ialah ganti nama yang salah seperti ini:
    "Jenayah kecil atau besar mesti dilaporkan kepada kita." kata Ketua Polis Negara.
Makna ayat ini ialah jenayah kecil atau besar mesti dilaporkan kepada saya, polis, pak tani, tukang urut, nelayan, doktor, jurutera, pemandu teksi, penulis blog, Jackie Chan, Barrack Obama, Datuk Najib, Datin Rosmah atau sesiapa sahaja sebab ganti nama kita menunjukkan semua orang terlibat, yang menulis dan yang membaca.

KITA

Ganti nama diri ini digunakan sekiranya yang menulis karangan atau penulis melibatkan orang yang membaca.
Jikalau saya menulis, saya guna ganti nama diri kita, ini menujukkan saya dan orang yang membaca atau guru atau pemeriksa terlibat sama.

contoh

1.     "Negara kita merdeka pada tahun 1957." kata emak Kar Fei kepada Kar Fei.
Ayat ini menunjukkan negara yang merdeka itu ialah negara emak Kar Fei dan negara Kar Fei juga.

salah

"Negara kami merdeka pada tahun 1957." kata emak Kar Fei kepada Kar Fei.
Ayat ini menunjukkan negara yang merdeka itu ialah negara emak Kar Fei,  bukan negara Kar Fei.  Tidak tahu pula Kar Fei orang negara mana?   Pelik sungguh ayat ini.  JANGAN IKUT!

LEBIH PELIK AYAT BEGINI

"Ya Tuhan yang maha esa, bantulah kita menghadapi masalah ini." doa Imam.
Ayat ini bermakna manusia dan Tuhan join sama-sama makhluk menghadapi masalah. Maha suci Tuhan yang sama dengan yang lain.

sepatutnya

"Ya Tuhan yang maha esa, bantulah kami menghadapi masalah ini." doa Imam.

                                   ---------------------------------------------------------------------

SAMBUNGAN 
SELANJUTNYA  ANDA BELAJAR KATA GANTI NAMA DIRI YANG KEDUA PULA

KATA GANTI NAMA DIRI KEDUA

ANDA

Digunakan kepada seseorang yang dihormati.

Di manakah anda tinggal?
Anda dilantik menjadi ketua dalam kumpulan ini.

KAMU/AWAK/....atau lebih kasar lagi ENGKAU.

Penggunaannya agak tegas dan kasar.
"Kamu dijatuhi hukuman gantung sampai mati." kata Hakim Mahkamah Tinggi itu.
"Kamu tidak boleh  balik awal kerana kerja belum siap." kata cikgu Avtar.
"Jikalau kamu anak jantan mari kita bergusti," kata Kar Fei kepada Nicholas.

Tidak elok jikalau kita tulis begini:

"Anda dihukum gantung sampai mati." kata Hakim Mahkamah Tinggi itu.  ....  tidak tegas.
"Anda tidak boleh balik awal kerana kerja belum siap." kata Cikgu Avtar.  ....tidak tegas.
"Jikalau encik anak jantan mari kita bergusti." kata Kar Fei kepada Nicholas.

AGAK ISTIMEWA APABILA BERDOA KEPADA TUHAN

"Tuhan yang maha agung, hanya kamu tempat aku menyerah diri." doa Pak Mat

agak pelik jikalau kita guna begini

"Tuhan yang maha agung, hanya anda tempat aku menyerah diri." doa Pak Mat.

Tuanku (anda.anda/kamu) - digunakan oleh raja/sultan
"Kami berharap tuanku sudi mencemar duli (datang) ke sekolah kami." kata Pengetua sekolah itu.

Mengapa kata ganti nama diri di bawah ini salah?

"Bilakah tuanku akan ke London?" tanya Lii An kepada Kenneth.

Salah, kerana Kenneth bukanya raja atau Sultan.

KATA GANTI NAMA DIRI KETIGA
Beliau        digunakan kepada orang yang lebih terhormat/baik.

Perdana Menteri akan melawat sekolah Darrel.  Beliau akan merasmikan kandang kuda sekolah itu.

Tidak elok jikalau ayat begini

Perdana Menteri akan melawat sekolah Darrel.  Dia/ia akan merasmikan kandang kuda sekolah itu.

Dia  digunakan terhadap orang biasa.

Peragut rantai emas itu diberkas oleh polis pagi tadi.  Dia cuba terjun ke dalam longkang.

Tidak elok kita tulis

Peragut rantai emas itu diberkas (ditangkap) oleh polis pagi tadi.  Beliau cuba terjun ke dalam longkang.

Ia

Inilah ganti nama diri ketiga yang sering disalahgunakan oleh semua bangsa di Malaysia. 

contoh kesalahan

Harimau binatang yang ganas. Ia sering dibunuh oleh manusia.

sepatutnya

Harimau binatang yang ganas.  Harimau sering dibunuh oleh manusia.

Guna ganti nama ini dengan betul!

Ada pelajar mengatakan ganti nama ia digunakan untuk menunjukkan binatang atau barang atau benda.
Salah.  Ganti nama ia  bermaksud dia.

Cikgu Tan sangat bijak mengajar matematik.  Ia lulusan Universiti Malaya.

Sebuah zoo baru akan dibina di Kajang. Ia akan menjadi mercu tanda yang baru untuk Kajang.
Penggunaan ganti nama ia ini salah.
Ingat, ia merupakan ganti nama untuk manusia sahaja!

Yang betul ialah

Sebuah zoo baru akan dibina di Kajang. Zoo itu akan menjadi mercu tanda yang baru untuk Kajang.

Baginda  (dia/ beliau)              ditujukan kepada raja/sultan dan Nabi Muhammad.

Nabi Muhamaad wafat (meninggal dunia) di Madinah.  Baginda meninggalkan isterinya Aisyah.

contoh

Sultan Melaka sedang santap (makan).  Baginda baru pulang dari pasar.


Mereka

Digunakan apabila melibatkan dua orang atau lebih.

Mereka disambut dengan meriah di KLIA.

Jangan begini,

Dia orang disambut dengan meriah di KLIA.

Paling salah lagi pelik

"Mereka-mereka yang belum membeli buku, segeralah membelinya." kata guru sejarah.

sepatutnya

Sesiapa yang belum membeli buku,  segeralah membelinya." kata guru sejarah.


---------------------------------------SELESAI------------------------------------------

LATIHAN

Pilih ganti nama diri pertama, kedua atau ketiga yang paling tepat untuk soalan-soalan di bawah ini.

       Bilangan betul                     Gred                 PERINGKAT                     TINDAKAN
    
        41 -  50                                A                 CEMERLANG                    USAHA LAGI
        31 -  40                                B                 BAIK                                   GIGIH LAGI
        21 -  30                                C                 LEMAH                               BELAJAR LAGI
        0   -  20                                D                 ROSAK                               SEDAR DIRI SIKIT

1.   ".............dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana menculik." tegas hakim itu.
      A   Engkau      B   Baginda      C   Kamu      D   Beliau

2.   "Didiklah anak ...............seperti anak sendiri,"  kata Sofia kepada adiknya.
      A  kami           B   kita           C    saya     D   beliau
zzz
3.   "Terpulanglah kepada .................untuk hadir ke majlis itu." kata Hanis Ayuni kepada Sultan Perak.
      A   beliau     B   tuanku     C   anda     D   engkau 

4.   ".................., minum susu ini cepat, nanti sejuk tidak sedap lagi." kata Puan Siti kepada anak sulungnya.
     A   adik      B   anak     C   Jefri   D   abang

5.   "Tunggulah tindakan daripada pihak............sekiranya  kerja itu tidak siap dengan sempurna."
     A   dia       B    kami      C     kita      D   engkau

6.   Husna Auni merupakan pelajar yang rajin.  ..............tidak pernah jemu belajar
      A   Ia      B   Anda     C     Baginda      D    Mereka

7.   "..................berharap pihak kerajaan akan memberi bantuan banjir dengan segera."
     A    Kita      B    Kami      C    Kami-kami     D   Ia

8.  "Besarlah harapan...............kawasan perumahan ini akan dimajukan lagi." kata Ketua Kawasan.
     A  kami      B   kita     C   saya      D    hamba

9.   "Serahkan pemuda yang dicekup (ditangkap)  kerana meragut telefon bimbit itu kepada .........." kata
      Ketua Polis Ampang itu kepada Kenneth.
      A   saya       B   mereka    C   kami    D   kita

10. "Sedih ...............melihat kesengsaraan (kesusahan) rakyat Afrika yang tiada makanan." kata Lady Gaga.
     A   kita       B   kami      C   saya        D   mereka
    

11.  "Din, belajarlah dengan tekun tetapi jangan lupa membantu ......di sawah padi." kata Mak Siti kepada
       anaknya.
       A    kami      B    kita      C   hamba     D    beta

12.  "Sebagai Pengerusi syarikat ini............akan memastikan semua pekerja dibayar gaji penuh."
       A   saya       B     kami      C  beta      D   hamba

13.  "Ingatlah ibu dan ayah di Malaysia.  Jangan lupa akan...................." kata emak Huda Aufa.
       A   kita      B    kami    C    saya     D   ia

14.  "......... tidak patut pulang lewat kerana nenek sakit." kata Encik Jamal kepada anaknya Jeff.
      A    Adik       B   Abang     C   Anak      D   Jeff

15.  ".......sudah berjaya menangkap buaya ganas itu." kata Raju kepada ketua kampung.
       A    Patik      B   Kita     C    Kami     D   Beta

16.  "....................mesti menghantar ubat ini ke rumah emak." kata Ani kepada suaminya.
      A    Abang         B   Adik       C   Awak       D   Kamu

17.  "Jikalau.........membeli kereta ini, hadiah misteri akan diberi." kata jurujual itu.
      A   awak         B   kamu      C    Encik       D   tuan hamba

18.   "Berdoalah kepada..................." kata  Pak Leman.
        A   nya      B   dia     C   beliau     D    -Nya

19.   "Berdoalah.   ...... akan perkenankan semua doa."
       A   Aku      B    Hamba     C    Kita      D   Kami

20.   "Di negara .................wang ini tidak laku." kata pemuda Jepun itu kepada kawannya.
       A   kami        B   kita      C  hamba      D   anda

21.   "Syukur.............kepada Tuhan atas kurniaan......" kata orang itu.
       A  Beta.......-Nya       B   aku......-Nya       C   saya........dia       D    hamba........beliau

22.  "..............hanya tiga hari ke London,  ...................jagalah Muniandi ini baik-baik." kata Selvi kepada
       adik perempuannya itu.
      A   Kita...........kamu     B   Kita.......engkau    C   Kami.......kamu       D   Saya.......anda

23.  "Para hadirin yang .............hormati, selamat datang ke majlis jamuan makan ..............ini." kata Lim.
       A   saya.......saya      B   saya........kami      C   saya.......anda       D    kita.........kami

24.  "Selagi anak.......tidak dibawa ke hospital, selagi itulah..................akan susah hati." kata Avtar kepada
       Sharon.
       A   saya .....kita      B   kita ......kita      C    kita .......kami      D   aku........aku

Soalan 25 dan 26 berdasarkan gambar di bawah ini. 

25. ".................., jangan menangis, ................... nak minum susu ke?" tanya kakak.



         A   Awak....  awak      B   Abang ......adik      C   Adik.....adik      D   Hoi.......abang

26.   "............,  jangan menangis sayang,  malu orang tengok ........menangis." kata Puan Aisyah.
        A   Kakak.............kakak      B   Awak.......awak    C    Ege.......Ege    D   Ege......kakak

Soalan 27, 28, 29 dan Soalan 30 berdasarkan gambar di bawah ini.



27.   "Inilah  gambar keluarga .............." kata Haji Cikuf kepada rakan................ Yaakub.
        A    saya ......-Nya      B   kami......nya      C   kita......nya       D   kita.........kita 

28.   "Inilah gambar anak cucu ...............yang ..............rakam pada hari raya yang lalu." kata Hajah Ungku
        Fatimah.
        A   saya......kita    B   kami.......kami     C   aku.....beta      D   kita.......kita

29.   "Di dalam gambar ini cucu ........... lima orang manakala anak............ tiga orang." kata Haji Cikuf.
       A   kami .......kami       B  kita......kita      C   saya......saya    D   aku........saya

30.  "............. hadiahkan gambar keluarga ini kepada ............berdua." kata Hajah Fatimah kepada
       Ungku Ramlah dan suaminya Fuad.
       A   Saya.................kamu      B    Aku..............dia     C   Kami.........kita     D   Saya.......kami

31.  .............wajar berhati-hati agar tidak terlibat dalam kemalangan seperti yang terdapat di dalam gambar
       di bawah ini yang boleh merugikan..................rakyat Malaysia.

         A   Kita .......kita     B    Kita........kami     C    Kita .......mereka      D    Anda .......mereka

32.  Di atas ini gambar kawan ..................dari Sarawak yang dikirimkan oleh kawan .......tempoh hari.
       A   saya..............saya            B    kita.........kita        C   kami...........kami       D   aku .......kami  

33.  Soalan 33 berdasarkan gambar di bawah ini.
       "Tidak lama lagi ............akan berkahwin. Akan dijemput tetamu dari negara............ sendiri dan tetamu
        dari seluruh dunia." kata Putera William di hadapan Kate Middleton.
       A    saya .......saya       B  saya.........beta     C   kami ..........kami    D   kita.....kita

34.   Soalan 34 ini berdasarkan gambar di bawah ini.

"Inilah buaya yang membaham seorang penduduk kampung ................. yang berjaya .........bunuh." kata
Karim bagi pihak rakan-rakannya.
A   kami ....kami        B    kita......kita      C    kami..........kita    D     kita......kami

35.  Berdasarkan gambar di bawah ini.

35.  "Wah,  pandainya ....................meletakkan pensel di atas bibir.........!"  kata emak.
       A   awak .......awak      B   kakak ..................dia      C    Regina.............nya    D   kamu........kita 

36. Gambar di bawah ini.




"....... berharap ..............suka berada di negara .................." kata Datuk Najib kepada tetamu dari Filipina.
A   Saya.......anda......kami
B   Aku........engkau.....aku
C   Gua.......lu orang.........kita orang
D   Saya.......anda........kita

Soalan 37 berdasarkan gambar di bawah ini.




............bekerja di hotel ini dengan abang ............sejak tahun 200 lagi.  Hotel.................akan mengadakan promosi makanan dari Eskimo.
A   Aku ........aku.........kami
B   Saya.........saya......kami
C   Beta.........beta........beta
D   Saya......saya.....saya

38.   ".............. merakam gambar .................sedang memasak bubur di rumah kawan..............." kata Ayeh.
        A     Aku.......aku.......aku
        B     Saya......saya ......saya
        C     Saya.....kita..........saya
        D     Saya.....kami.......saya




39.  Berdasarkan gambar jambatan gantung di atas.

        "Di negara ........tidak ada jambatan gantung seperti ini.  Gambar ini diberi oleh..........   kepada ........."
        A    kita  .....dia......beliau
        B    kita ..........dia .....saya
        C    kamu ......engkau ......saya
        D    kami......nya.....nya

40.  Berdasarkan gambar ini.


"Kasihan ............melihat ................mencari rezeki dengan menaiki perahu kecil atau kolek........"
A     Kami........nya.........-Nya
B    Aku.......dia......-Nya
C    Saya...........kamu..........kamu
D    Kami..............dia........nya


41.   Gambar pasar tani.
        "......................pergi ke pasar tani ini bersama kawan............. dan datuk.........."
       A   Kita  ..............aku......aku
       B   Kamu .........aku.....nya
       C   Aku.......aku.......-Nya
       D    Kami .....saya.....nya

42.   ".................diarahkan menguatkan pasukan....................dengan bantuan rakan-rakan............ yang
        lain." kata Ketua Polis itu kepada orang bawahannya semalam.
        A   Saya......kita......kita
        B   Saya .....kamu.... kamu
        C   Kita......kita.......kita
        D   Anda.......  kita.......kamu

43.  Berdasarkan gambar di bawah ini.

      "................berbangga kerana ............. semua bergembira di negara ..............bersama-sama rakyat
       .............." kata Datuk Sri Najib Tun Razak.
      A   Kita.................kamu...........kami.......kami
      B   Kami...............anda.............kami ......kami
      C   Saya...............anda..............saya.......saya
      D   Saya...............saya..............saya........saya

44.  "........................., semua kapal sudah disediakan untuk pelayaran pada petang ini."
      
        I     Tuanku     II     Tuan      III     Awak    IV   Anda
        A    I sahaja        B   II sahaja       C   I dan II sahaja   D   I, II, III dan IV

45.   "Anak ......................demam kerana cuaca sejuk sejak semalam." kata Liew kepada isterinya.
        I      kita        II    kami      III    nya        IV   saya
        A   III sahaja       B   I dan III sahaja      C    I,  III dan IV sahaja    D    I, II, III dan IV

46.  Miss Wong bertanya kepada pelanggannya, "Ada apa-apa yang boleh .........bantu.........?"
       I     saya ....... engkau    II    hamba ........anda      III   kami......anda    IV    saya .....anda
       A   I   sahaja         B   IV sahaja       C      I dan IV sahaja    D   I, II , III dan IV

47.  ".......................akan menyiasat tuduhan orang ramai bahawa polis mendera orang yang dituduh." kata
      Ketua Polis Negara.
      I    Kami     II   Kita     III   Saya    IV  Mereka
      A   I  sahaja      B    I dan IV sahahja      C   I, II dan II sahaja     D   I,  II, III dan IV

48   "Kita wajib berbaik-baik dengan jiran tanpa mengira bangsa dan agama."  demikian tegas ..........Nabi
      Muhammad.
      I     tuan       II     baginda      III    tuanku      IV   patik
      A     I sahaja         B   II   sahaja      C   I dan II sahaja    D   I, II, III dan IV 

49.  ".....................akan berlawan habis-habisan dalam perlawanan hoki itu." kata ketua pasukan.
      I     Saya        II     Kita        III    Kami      IV     Mereka
      A   III sahaja      B    I  dan II sahaja      C   III dan IV sahaja      D    I, II, III dan IV 

50.  "..........................perlu berwaspada terhadap penjenayah yang berpura-pura baik."
       I     Kamu        II    Kita      III   Kami     IV    Awak
       A     III sahaja      B   II dan III sahaja     C   II,  III dan IV       D    I, II, III dan IV 
       

No comments:

Post a Comment